KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengkaji dan menganalisis implikasi keperluan baharu untuk meningkatkan sektor perkhidmatan awam di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki untuk menganalisis implikasi terma baharu berkenaan.
Katanya, beberapa perancangan akan diputuskan setelah Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semakan terma dan syarat penjawat awam di negara ini pada 1 Mei nanti.
"Penjawat awam wajar menerima insentif sekiranya mereka mencapai sasaran prestasi yang ditetapkan.
"Malah, saya ada idea yang mungkin lebih baik daripada apa yang akan diumumkan pada 1 Mei nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Jabatan Premier Sarawak anjuran Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dan Unit Pentadbiran (UP) di Autrium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengenai pendekatan kerajaan negeri, beliau berkata penggunaan sistem lantikan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) adalah lebih sesuai berbanding Skim Pencen Perkhidmatan Awam.
Jelas beliau, dengan adanya JBC, penjawat awam mempunyai akses untuk berpindah daripada sektor awam kepada sektor swasta dan syarat perkhidmatan berkenaan lebih baik daripada skim pencen.
"Saya percaya bahawa dengan pendekatan ini, selagi ia dalam kemampuan kewangan, kerajaan akan dapat melaksanakan sistem perkhidmatan yang berdaya saing dan memberi peluang kepada masa depan penjawat awam," katanya lagi.
Dalam majlis itu, Abang Johari telah menyempurnakan penyerahan sumbangan ikhlas daripada Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Cares dan MAKSAK Wanita Sarawak kepada 50 warga kerja Jabatan Premier Sarawak.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan kenamaan yang lain.